Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keratan Akhbar. Papar semua catatan

Selasa, 17 Februari 2015

Tanaman komersial di taman mini unik (Harian Metro 17.2.2015)

Oleh Mohd Sabran Md Sani 

sab@hmetro.com.my

Luarannya tidak ba­nyak beza dengan unit kediaman banglo yang lain, dihiasi pagar serta pokok hiasan.Namun, di sebalik ba­ngunan dua tingkat dihuni lapan sekeluarga ini tersorok taman mini yang unik.

Andai tidak diperkenalkan rakan setugas, tidak mungkin penulis dapat menyelongkar rahsia di sebalik banglo di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor ini.Apa uniknya banglo itu hingga menarik minat ramai individu ke sana?Pantang pintu rumah terbuka, ada saja yang menekan loceng untuk ‘bertamu’ pada hujung minggu.

Tiga jam diundang sebagai tetamu merungkai tanda tanya yang bermain di fikiran penulis.Hanya satu matlamat mereka, mendapatkan pokok sepanjang sejengkal untuk dijadikan buah ta­ngan dan dibawa pulang ke rumah.Pokok yang tercatat dalam al-Quran bersama zaitun diburu ramai berikutan khasiatnya merawat penyakit.Rahsia itu dirungkai menerusi taman mini Amanda Putri’s Fig Garden yang dibangunkan pasangan suami isteri.Siapa sangka, hobi dikongsi jurutera sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Dol Malek Md Sap, 50, bersama isterinya, Maizah Jalil, 48, bertukar ringgit.Hobi menanam pokok tin yang dikongsi bersama peminat umpama ‘hobi membalas budi’ dan ‘kebun rezeki’.

Jika sebelum ini mereka hanya mengumpulkan spesies pokok tin di seluruh dunia, kini ia maju selangkah.Plot tanaman berkanopi yang berkeluasan 20 x 30 kaki persegi menjadi medan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Setiap masa terluang akan dipenuhi dengan aktiviti berkebun yang diba­ngun bersama ahli keluarga.
Malah, fasa tanaman kini bertukar ke plot lebih besar yang beroperasi di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah Melaka bagi tujuan kajian komersial.

Fasa tanaman pertama dibangunkan di sebuah rumah hijau berkeluasan 20 x 50 kaki persegi membabit­kan 40 pokok dan fasa kedua pula berkeluasan 20 x 100 kaki persegi. Paduan minat dikongsi pasangan itu membuahkan aura positif hingga membangunkan tanaman tin di kediaman terhad. Hobi unik ini menukar persepsi ramai berkenaan potensi pokok tin yang boleh dikomersialkan. Malah, plot tanaman dibangunkan untuk menjadi sumber rezeki kepada pasangan berkenaan selepas bersara kelak. Buktinya, bukan saja pokok tin menjana pendapatan sampingan, tetapi buahnya juga dapat dijual segar atau di­jadikan produk hiliran seperti jem dan teh. Bagi pasangan berkenaan menanam pokok menjadi terapi terbaik dalam mengurangkan tekanan di tempat kerja. Apatah lagi sebagai guru, Maizah sering berdepan dengan kerenah pelajar yang pelbagai.
Merenung pokok yang menghijau di persekitaran rumah katanya membuat­kan dirinya kembali tenang dan damai. Dol Malek berkata, dia bersama isteri mempunyai hobi menanam ‘pokok pelik’ yang jarang terdapat di negara ini.
“Semuanya bermula pada 2001 apabila kami berdua menanam pokok anggur, epal, zaitun, mulberi dan kiwi. “Kami teruja melihat pokok epal yang diperoleh dari Stesen MARDI Cameron Highlands, Pahang berbuah lima kali di laman kami,” katanya.

Pernah diberikan pokok tin daripada seorang kawan 10 tahun lalu, namun niat menanam pokok itu ‘terkubur’ apabila tidak menjadi. Bagaimanapun, katanya, minat itu datang kembali selepas mereka menemui kumpulan penanam tin melalui laman sosial di luar negara.

 “Kami membuat carian di Internet bagi mendapat­kan maklumat mengenai pokok tin. “Dari situ kami me­ngenali seorang usahawan bernama Datuk Syed Elias yang menjadi individu penting dalam memperkenalkan pokok itu di negara ini,” katanya.

Secara berkumpulan mereka mengunjungi kediaman golongan kenamaan (VIP) itu untuk melihat projek tanaman pokok tin.

 “Banyak ilmu yang saya dapat selain melihat 200 spesies pokok tin dikumpulkan dari seluruh negara,” katanya. Dari Bukit Antarabangsa, Ampang, katanya dia membawa pulang beberapa anak pokok tin ke kediaman mereka. “Anak pokok tut yang ditanam menjadi dan dalam tempoh tiga bulan sudah mengeluarkan buah. “Kami seronok melihat pokok tin berbuah dan sejak itu pelbagai varieti diperoleh dari pelbagai negara yang dibawa rakan,” kata­nya. Katanya, mereka me­ngirim gambar kepada peminat pokok tin menerusi kumpulan Facebook: Fig Culture (Ficus Carica), Kelab Kebun Keliling Rumah dan laman ‘Amanda Putri’s Fig Garden.

“Sebagai ‘admin’ kami menerima banyak maklum balas positif dan ramai terkejut dengan projek yang kami lakukan. “Dari situ bermulalah episod kunjungan peminat pokok tin ke kediaman kami,” katanya.

Dia banyak mempelajari ilmu berkaitan pokok tin daripada pemilik blog dari serata dunia serta membaca buku mengenai tanaman itu.

 “Pokok tin banyak varieti dan menerusi blog dan buku itu saya ba­nyak mempelajari me­ngenai penjagaannya. “Ada yang sesuai ditanam di negara ini dan sebaliknya selain tidak semua pokok berbuah, tetapi boleh menghasilkan daun teh,” katanya. Katanya, pokok tin yang juga satu spesies dengan buah ara mempunyai empat keluarga utama iaitu capfrifig, simyrna, san pedro dan common. Pasangan itu menggunakan dua kaedah untuk membiakkan pokok iaitu menerusi kaedah tut dan keratan batang bersaiz sejengkal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 1:13 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31527#sthash.qFHyN8L1.dpuf







Potongan akhbar Harian Metro 17.2.2013




Berbanyak-banyak terima kasih kami dari Amanda Putri's Garden kepada wartawan dan juru foto Harian Metro (Agro). 

Jumaat, 29 Ogos 2014

Maizah Puas Tanam Pokok Tin (Harian Metro - 29-08-2014)


Majalah M


Oleh Siti Zarinah Sahib
Setiap petang selepas selesai mengajar di Sekolah Kebangsaan Rinching, Hilir Bangi, berbekalkan sebekas air dan tangan dibalut plastik, Maizah Jalil berada di halaman rumahnya bagi membersihkan daun kering serta menyiram pokok tin yang ditanam sejak lebih 10 tahun lalu.

Menyaksikan setiap pokok tumbuh segar serta buah bergayutan pada rantingnya, jelas menunjukkan kecintaan wanita ini dalam bidang tanaman. Malah dia sanggup membalut satu persatu buah tin dengan sabar menggunakan plastik kecil bagi mengelak buah dimakan burung dan tupai. 

Buah yang sudah masak berwarna ungu kemerahan dipetiknya sama ada dimakan begitu saja atau dijadikan jem. Buah tin segar sangat enak kerana rasanya yang lemak dan manis manakala isinya berkhasiat untuk mereka yang menghadapi masalah usus, berbeza dengan buah yang sudah dikeringkan. Daunnya pula boleh direbus dan dijadikan minuman panas sama seperti teh. 

Jika diperhatikan halaman rumah teres dua tingkat itu bukan saja meriah dengan tumbuhan hijau pokok tin, mendongak ke atas terlihat juntaian anggur yang masih menghijau manakala daunnya merimbun melilit sebahagian kayu yang disediakan di situ.




 MAIZAH melindungi buah tin menggunakan plastik bagi mengelak ancaman serangga.


“Anggur ini sudah banyak kali berbuah, puas kami sekeluarga makan hasilnya. Buahnya pula tidak bermusim. Rasanya sama seperti dijual di pasar, segar dan manis,” kata Maizah sambil membawa penulis meninjau kebun kecil di sekitar rumahnya.

Memilih hobi menanam buah-buahan yang sukar tumbuh di Malaysia, jelasnya, kecintaan terhadap bidang tanaman bermula sejak kecil kerana dia sering melihat ayah melakukan proses penanaman pokok menerusi kaedah tut. Sejak itu dia mula mencuba sehingga lama-kelamaan menjadi hobi yang sukar ditinggalkan. 

“Sudah terbiasa dengan buah-buahan kampung, saya terfikir untuk menanam pokok yang jarang tumbuh di Malaysia seperti anggur, epal, kiwi dan mulberi. Namun sebelum melakukan proses penanaman, saya membuat kajian terlebih dulu mengenai jenis tanah dan baja supaya tanaman berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah, pokok epal yang hanya ditanam di halaman rumah sudah berbuah lima kali, begitu juga dengan anggur, kiwi dan mulberi,” katanya. 

Bukan itu saja, rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang itu turut dikelilingi tumbuh-tumbuhan herba seperti kantan, lengkuas, serai, daun kesum dan ulam-ulaman yang hidup subur. 

Terapi jiwa 

Sebagai guru yang bertugas pada waktu pagi, Maziah menggunakan masa terluang selepas balik dari sekolah untuk menjaga pokok di halaman rumahnya. Ia bagaikan satu terapi jiwa apabila melihat semua tumbuhan hidup dan bercambah daunnya dengan subur. 

Malah sentuhan magis tangannya setiap kali membelai daun kecil diikuti senyuman manis setiap kali mendekati pokok menjadi petua yang diamalkan supaya setiap tanaman hidup subur dan mekar. 

“Saya sangat suka berkebun apabila melihat pokok mula mengeluarkan buahnya. Satu keseronokan melihat epal, anggur dan buah tin masak dan mampu dirasai bukan saja seisi keluarga tetapi jiran sekeliling dan rakan dari luar daerah,” katanya yang turut mendapat sokongan suami, Dol Malek Md Sap yang turut berkongsi hobi yang sama. 

Suami Maizah turut sama menjalankan kajian, mencari biji benih dan teknik penanaman berkesan supaya pokok yang ditanam membuahkan hasil yang diinginkan. 

Bermula sebagai hobi, kini tanaman pokok tin mula dikomersialkan secara kecil-kecilan apabila Maizah mula berkongsi dengan pembaca menerusi laman sosial Facebook Amanda Putri’s Fig Garden mengenai teknik tanaman dan cara penjagaannya. 

Pada mulanya dia hanya menulis sekadar suka-suka mengenai penanaman buah tin, lama-kelamaan ramai yang bertanya dan ingin membeli benihnya. 

“Saya dan suami mula mencari teknik pencantuman benih atau tut paling praktikal dan mudah supaya dapat dihantar kepada mereka yang ingin mencuba. Saya membiarkan pokok ini hidup terlebih dulu selepas dipos kepada pelanggan bagi memastikan mereka menerima pokok yang benar-benar hidup dan boleh ditanam di rumah,” katanya. 

Biasanya pokok yang sudah ditut hanya mengambil masa empat bulan untuk berbuah. Hanya biarkan tumbuhan ini tumbuh di kawasan lapang, mendapat pencahayaan, air dan baja yang cukup. 

“Untuk pokok tin, saya menggunakan 50 peratus pasir dan 50 peratus tanah campuran organik. Baja hanya diletakkan seminggu sekali manakala air perlu disiram setiap hari,” katanya. 

Pokok ini juga boleh hidup di dalam pasu kerana pokoknya tidak terlalu tinggi dan besar. Keadaan ini berbeza sekiranya ditanam di tanah kerana pokoknya akan membesar seperti tumbuhan lain. 

“Bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan, boleh cuba menanamnya di dalam pasu kecil, kemudian memindahkannya ke dalam pasu besar,” katanya yang kini mula menghasilkan kebun mini pokok tin di kampung suami di Melaka. 

Sejak menanam pokok tin lebih 10 tahun lalu, rumah kediaman pasangan ini sering menerima kunjungan tetamu dari seluruh pelosok negara. Ada yang datang semata-mata ingin melihat pokok dan buah tin, ada yang ingin mendapatkan biji benih dan ada juga ingin mendapatkan panduan mengenai kaedah penanaman. 

“Setiap kali tetamu datang, kami seboleh-bolehnya cuba memenuhi permintaan mereka setakat termampu. Mereka mempunyai keinginan yang tinggi untuk sama-sama menanam pokok tin dan kami tidak lokek berkongsi rahsia dengan mereka,” ujarnya yang menjual benih tut pokok tin menerusi dalam talian. 

Pada masa depan, Maziah dan suami berhasrat ingin mengkomersialkan penanaman pokok tin supaya dapat dinikmati semua. Dia juga teringin mencuba menanam pokok zaitun bagi mengetahui sama ada ia mudah tumbuh dan sesuai dengan iklim di Malaysia atau sebaliknya. 

“Saya tidak akan berhenti mencuba dan menjalankan kajian mengenai pokok yang jarang tumbuh di Malaysia. Sama seperti buah tin dulu, ramai yang kata mustahil ia dapat hidup dalam cuaca panas dan kering tetapi kami sudah membuktikannya. 

Jika kena dengan cara, jenis tanah, baja dan teknik penanaman, ia tidak menjadi masalah,” kata Maziah yang mempunyai enam anak dan masing-masing mempunyai hobi dan minat berkebun.Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Rujukan : 

Sabtu, 23 Ogos 2014

Pokok Tin Hidup Subur (HarianMetro OnLine - 23/08/2014)

Pokok tin boleh dibiak menerusi keratan batang, kaedah tut berakar atau biji benih.  Tanaman melalui keratan batang dan tut boleh menghasilkan buah dengan cepat di negara ini.  Dalam tempoh empat hingga enam bulan, ia menghasilkan buah.   Tanaman melalui biji benih didapati belum menghasilkan buah walaupun ada yang dah ber­umur lebih dari tiga tahun.
ANTARA bahan asas yang diperlukan untuk kaedah tut.








Hampir semua pokok tin di Amanda Putri’s di tanam di dalam pasu dan didapati boleh hidup subur apabila dijaga serta diselenggara dengan betul. Bagi tanaman dalam pasu, media tanaman perlu longgar dan tidak menakung air. Di Amanda Putri's Garden, media tanam pasu dibuat dengan mencampurkan pasir dan tanah merah top soil dengan kadar 50 peratus pasir dan 50 peratus campuran tanah merah, kompos dan sekam padi bakar,” kata Maizah. 

Pokok tin memerlukan cahaya matahari yang cukup dan keadaan kering untuk tumbuh subur. Jadi, tanaman ini tidak sesuai diletak di bawah naungan tanaman lain. Didapati akar pokok tin tidak tahan jika terendam air terlalu lama hingga boleh menyebabkan kematian pada pokok. Malah, pokok tin juga memerlukan air yang cukup dan jika ditanam dalam pasu, siram dua kali sehari. Dari segi pembajaan pula pokok tin perlu sentiasa dibekalkan dengan baja yang secukupnya. 

Di Amanda Putri’s Garden, pokok tin dibaja dengan baja khas pada kekerapan seminggu sekali. Amat membanggakan kerana buah tin boleh terus dimakan segar selepas dipetik apabila masak. Buah tin juga digunakan untuk hiasan bagi kek dan masakan atau dijadikan jem supaya boleh disimpan lama,” katanya. 

Pada masa sama Amanda Putri’s Garden juga ada mengeluarkan anak pokok tin untuk jualan kepada yang berminat.Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

Rujukan: